“Apa itu Arduino?”, tanya saya kepada salah seorang pelajar tahun akhir yang sedang membentangkan projek. “Arduino adalah microcontroller…”, jawabnya. Sekarang saya ingin bertanya kepada anda semua, apa itu Arduino? Adakah ia hanya pengawal mikro?
Arduino adalah satu platform (asas) sumber terbuka untuk mempelajari pengawal mikro dengan mudah dan murah. Idea Arduino ini datang daripada fakulti seni di salah sebuah universiti di Ivrea, Italy. Fakulti seni tersebut memfokuskan terhadap pendidikan rekaan interaktif. Bagi membolehkan rekaan interaktif mereka lebih menarik, mereka perlu menggunakan pengawal mikro. Tetapi subjek pengawal mikro adalah sukar, pelajar kejuruteraan pun tidak semua boleh kuasai. Disebabkan hal ini, pensyarah mereka perlu memastikan platform pengawal mikro itu mudah. Tidak seperti silibus yang digunakan oleh pelajar jurusan jurutera.
Oleh itu, objektif Arduino adalah untuk menghasilkan satu platform mempelajari pengawal mikro dengan mudah dan murah, serta boleh digunakan oleh non-engineer (selain jurutera).
Kesan daripada pengenalan Arduino, subjek pengawal mikro menjadi lebih mudah. Produk berkaitan pengawal mikro menjadi lebih murah. Dengan kelebihan sumber terbuka, informasi dan produk Arduino tersebar ke seluruh dunia dengan cepat. Lebih ramai boleh mempelajari dan membuat aplikasi projek elektronik menggunakan Arduino. Perkataan Makers, bermaksud seperti DIY (Do It Yourself) semakin popular. Pendedahan tentang pengawal mikro diperhebatkan sehingga ke peringkat sekolah rendah. Dan kini semua orang boleh belajar Arduino.
Berbalik kepada soalan tadi, saya ingin ringkaskan berkenaan Arduino.
- Arduino LLC adalah nama syarikat yang menguruskan Arduino.
- Perisian Arduino dinamakan Arduino IDE yang berdasarkan platform Wiring dan Processing.
- Ada banyak board Arduino dihasilkan, seperti Arduino Uno, Arduino Mega, Arduino Nano dan banyak lagi. Terkini, jumlah board Arduino melebihi 30 jenis. Walaubagaimanapun, board yang paling popular masih lagiĀ Arduino Uno.
- Pengguna Arduino yang ramai mewujudkan satu komuniti yang besar dinamakan komuniti Arduino.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Bagi membolehkan saya terus mengusahakan blog ini, amatlah berbesar hati sekiranya tuan/puan dapat memberi sumbangan ikhlas bagi menampung kos (hosting, domain, masa, barang, dll). Terima kasih. Maybank Idris Zainal Abidin 162731011315