Memilih Papan Arduino Yang Sesuai

Arduino mempunyai banyak papan pengawal mikro. Terkini, lebih 30 jenis papan telah dihasilkan. Walaubagaimanapun, di Malaysia hanya beberapa papan Arduino saja yang sering digunakan. Sebelum saya berkongsi bagaimana cara memilih papan Arduino, saya senaraikan dahulu papan Arduino yang popular.


Senarai Papan Arduino Yang Popular

1. Arduino Uno R3

Memilih Papan Arduino
Arduino Uno R3

Arduino Uno adalah papan yang terbaik untuk mula belajar elektronik dan pengaturcaraan. Ia berasaskan cip pengawal mikro ATmega328P yang mempunyai 28 pin. Jika anda pertama kali belajar Arduino, saya mengesyorkan untuk memilih papan ini sebagai ‘teman bermain’. Uno adalah papan yang paling banyak digunakan diseluruh dunia. Oleh itu, ia mempunyai banyak kelebihan. Antaranya:

  • Dokumen yang lengkap.
  • Mudah untuk membeli.
  • Memiliki senarai library yang banyak dan lengkap.
  • Lambakan contoh pengaturcaraan.
  • Mempunyai banyak shield yang bersesuaian.
  • Mudah mendapatkan informasi projek yang menggunakan Uno.

2. Arduino Mega 2560 R3

Arduino Mega 2560 R3
Arduino Mega 2560 R3

Bagi saya, Arduino Mega ini adalah kesinambungan daripada Arduino Uno. Maksudnya, selepas anda sudah biasa dengan Uno, dan ingin membina projek yang lebih kompleks, Arduino Mega adalah pilihan yang bagus. Mega berasaskan cip pengawal mikro ATmega2560 yang mempunyai 100 pin. Berikut adalah kelebihan Mega berbanding Uno:

  • Mempunyai pin masukan dan keluaran (input output) yang banyak.
  • Dilengkapi memori (flash memory, SRAM, EEPROM) yang lebih besar.

Walaubagaimanapun ada beberapa kekurangan Mega berbanding Uno:

  • Tidak banyak shield yang direka untuk Mega.
  • Pin Mega tidak 100% serasi dengan Uno. Oleh itu, tidak semua contoh projek Uno boleh digunakan secara terus pada Mega.

Walaupun Arduino Mega tidak sepopular Arduino Uno, ianya masih mudah untuk dibeli, dan banyak contoh projek boleh didapati di internet.

3. Arduino Nano

Arduino Nano
Arduino Nano

Selepas anda membina projek menggunakan Arduino Uno, dan mahu kecilkan saiz projek, Arduino Nano adalah pilihan yang tepat. Arduino Nano berasaskan cip pengawal mikro ATmega328 yang mempunyai 28 pin. Secara umumnya ia sama seperti Uno, cuma rekaan papan saja berlainan. Berikut adalah kelebihan Nano berbanding Uno:

  • Saiz lebih kompak.
  • Bebas mereka bentuk litar.

Walaubagaimanapun ada beberapa kekurangan Nano berbanding Uno:

  • Tidak sesuai untuk mereka yang baru (tiada kemahiran mereka bentuk litar).
  • Bekalan kuasa daripada 5V USB sahaja. Tiada pengatur voltan 5V.

Berbanding Mega, anda boleh gunakan contoh pengaturcaraan Uno terus ke Nano tanpa pengubahsuaian. Cuma anda perlu pastikan sambungan litar yang betul. Anda boleh dapatkan papan Arduino Nano disini.

Cara Memilih Papan Arduino

Selepas memahami fungsi dan kelebihan sesuatu papan, anda perlu mengenalpasti beberapa faktor untuk memuktamadkan pemilihan papan Arduino. Untuk perkara ini, anda perlu membuat kajian projek, seperti:

  1. Jumlah pin masukan dan keluaran yang diperlukan.
  2. Jumlah pin peripherals (contoh ADC, PWM, Serial, I2C) yang terlibat.
  3. Anggaran kerumitan projek bagi menentukan saiz memori.
  4. Saiz fizikal projek.

Jika anda tidak dapat menentukan faktor-faktor yang disenaraikan, pilih saja lah Arduino Uno untuk permulaan. Kemudian anda boleh membuat keputusan jika perlu bertukar ke papan yang lain. Mungkin ia akan melibatkan sedikit kos. Tapi jangan khuatir, anggaplah ia sebagai pelaburan untuk belajar.

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Bagi membolehkan saya terus mengusahakan blog ini, amatlah berbesar hati sekiranya tuan/puan dapat memberi sumbangan ikhlas bagi menampung kos (hosting, domain, masa, barang, dll). Terima kasih. Maybank Idris Zainal Abidin 162731011315

Leave a Reply