HAT adalah singkatan daripada Hardware Attached on Top. Ia adalah papan perkakasan (hardware) untuk Raspberry Pi yang dipasang melalui sambungan 40 pin GPIO. Objektif HAT adalah untuk memudahkan pembinaan litar projek. Kebiasaannya setiap HAT memiliki fungsi-fungsi tersendiri. Contoh HAT adalah seperti Sense HAT, Relay HAT, Servo HAT, Motor Driver HAT, dan lain-lain. Terkini, Maker pHAT telah diperkenalkan, apa itu Maker pHAT?

Maker pHAT direka bagi memudahkan kita untuk remote Raspberry Pi. Kelebihan remote adalah kita tidak perlu menyediakan perkakasan asas seperti papan kekunci, tetikus dan LCD monitor. Sekaligus menjadikan persediaan perkakasan kita lebih kecil. Berikut adalah ciri-ciri yang terdapat pada Maker pHAT.
Apa itu Maker pHAT?
Maker pHAT dilengkapi dengan 4 ciri menarik seperti yang dinyatakan dibawah.
1. Modul USB ke Serial

Pertama, ia dilengkapi dengan Modul USB ke Serial. Ini sangat membantu anda untuk remote Raspberry Pi melalui komunikasi serial. Kaedah ini membolehkan anda menggunakan Raspberry Pi dengan alatan minimum dan tanpa memasang perkakasan asas.
2. Sambungan LED di 8 pin GPIO

Kedua, ia mempunyai sambungan LED pada 8 pin GPIO, iaitu GPIO 17, 18, 27, 22, 25, 12, 13 dan 19. Sama seperti Maker UNO, LED ini bertujuan sebagai indicator signal pada pin tersebut. Anda boleh tetapkan GPIO tersebut sebagai keluaran, masukan dan masukan pull up.
3. Butang Tekan Yang Boleh Diaturcara

Ketiga, ia disertakan 3 butang tekan boleh diaturcara dengan label SW1, SW2 dan SW3. Push button ini disambungkan pada GPIO 21, 16 dan 20. Untuk menggunakannya anda perlu tetapkan GPIO tersebut sebagai masukan pull up.
4. Pembaz Aktif

Kalau tak ada bunyi tak seronok lah kan, jadi yang keempat adalah pembaz aktif. Berbeza dengan pembaz piezo yang terdapat di Maker UNO, ia mempunyai 2 keadaan sahaja, bunyi atau senyap. Signal HIGH akan aktifkan buzzer dan signal LOW sebaliknya.
Ciri-ciri yang terdapat pada Maker pHAT sangat sesuai untuk pemula, iaitu baru nak belajar Raspberry Pi terutama yang berkaitan pengaturcaraan hardware. Selain itu, Maker pHAT juga sesuai untuk anda yang sudah berpengalaman menggunakan Raspberry Pi. Ia membantu anda memudahkan pembinaan prototaip projek. Jika ada orang tanya anda “apa itu Maker pHAT?”, kini anda sudah boleh menerangkan dengan yakin.
Terima kasih kerana menjadikan blog ini sebagai rujukan. Saya ingin memohon jasa baik anda semua untuk Subscribe channel Youtube saya di https://www.youtube.com/c/idriszmy 🙏