Syarikat Elvira System dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Pertandingan Inovasi dan Robotic menggunakan micro:bit #MIRC2020 dengan tema “Solusi Kesejahteraan Diri dan Komuniti”. Berbeza dengan pertandingan-pertandingan inovasi sebelum ini, ia dijalankan secara atas talian. Peserta perlu menghantar video berkenaan projek berdurasi maksimum 5 minit. Saya rasa ia satu usaha yang sangat baik dalam memupuk minat dikalangan pelajar untuk berinovasi dengan norma baharu. Tanpa berfikir panjang saya terus daftar pada 1 September 2020.
Tong Sampah Automatik Menggunakan micro:bit
Niat asal saya lebih kepada memberi pendedahan kepada anak bagaimana menyertai pertandingan inovasi. Jadi kami memilih tajuk projek Tong Sampah Automatik Menggunakan micro:bit. Saya lebih tekankan terhadap penghasilan video yang jelas, mudah faham serta ringkas. Berikut adalah hasil video kami yang berdurasi sekitar 3 minit. Mohon jasa baik untuk like 👍 dan tinggalkan komen untuk kami perbaiki. 😊
Persediaan Perkakasan
Terdapat 2 bahagian pada projek ini iaitu [1] pengawalan motor servo untuk buka atau tutup tong sampah, dan juga [2] penggunakan input iaitu button dan sensor. Motor servo adalah bahagian paling penting untuk diselesaikan dahulu. Asalnya kami menggunakan motor servo tersedia di dalam kit EDU:BIT, yang bersaiz kecil. Tetapi ia tidak cukup kuat untuk menolak penutup tong sampah. Jadi kami gunakan motor servo yang lebih besar serta dilengkapi gear besi. Dengan penggunakan kit EDU:BIT, tiada masalah untuk mengawal motor servo yang lebih besar.
Berikut adalah perkakasan yang digunakan pada projek ini:
- Papan micro:bit
- Kit EDU:BIT
- Motor Servo Gear Besi
- Kotak terpakai
- Powerbank
Pembinaan Kod
Kod ini dibina menggunakan perisian online MakeCode dengan extension EDU:BIT. Projek ini berfungsi ringkas sahaja, iaitu mengawal servo melalui input button atau sensor IR. Blok fungsi buka dan tutup dibuat bagi memudahkan kita faham (untuk buka atau tutup tong sampah), berbanding menggunakan blok servo dengan nilai sudut sahaja. Walaubagaimanapun, jika anda perhati pada fungsi buka, terdapat beberapa blok yang terlibat dalam pengawalan servo. Ini kerana kami ingin memperlahankan sedikit pergerakan motor servo semasa membuka penutup tong sampah.
Aliran utama projek adalah pada bahagian blok forever. Apabila sensor IR mengesan objek, ia akan menghantar isyarat digital 1. micro:bit akan memainkan melodi “jump up” (menunggu 1 saat) dan membuka penutup selama 5 saat. Seterusnya tutup tong sampah dan tunggu 2 saat untuk kembali mengesan objek.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Jika anda berminat dengan kit EDU:BIT, anda boleh klik pada gambar berikut untuk ke laman produk.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Bagi membolehkan saya terus mengusahakan blog ini, amatlah berbesar hati sekiranya tuan/puan dapat memberi sumbangan ikhlas bagi menampung kos (hosting, domain, masa, barang, dll). Terima kasih. Maybank Idris Zainal Abidin 162731011315